Wanita kesunyian paling terdedah jerat scam

0
7
Mohd Niza bersama Dr. Prakesh dan Zurina Hambari pada sesi Town Hall IPD Dang Wangi dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kuala Lumpur (MCPF KL) Siri 1/2022 di sini semalam.

CYBERJAYA – Wanita kesepian yang aktif di media sosial menjadi golongan paling mudah terjerat dalam kes penipuan atau scam dalam talian khususnya ‘Love Scam’.

Ketua Bahagian Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Dang Wangi, ASP Mohd Niza Mohamad berkata, golongan seperti wanita tanpa teman hidup, yang ditinggalkan dan sedang mencari pasangan adalah antara yang paling kerap diperdaya.

Katanya, kebergantungan pada pelbagai bentuk saluran media sosial pada masa kini menyebabkan golongan tersebut terdedah kepada sasaran scam berbentuk ugutan.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), penipuan bermula dengan jerat percintaan yang memancing mangsa melakukan perkara-perkara yang bersifat peribadi seperti chat seks atau video seks.

“Biasanya kes bermula dengan perkenalan dengan lelaki berprofil jejaka tampan dari luar negara yang kemudian membawa kepada perlakuan yang lebih intim.

“Kebanyakan mangsa akan hanyut dalam emosi sehingga percintaan bertukar menjadi ugutan,” katanya dalam sesi Town Hall IPD Dang Wangi dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kuala Lumpur (MCPF KL) Siri 1/2022 di sini semalam.

Program bertajuk Jenayah Siber : ‘Awas ! Scammer Dalam Talian“Anda Bijak Anda Selamat” itu turut membariskan Ketua Pegawai Eksekutif Vulsan X, Dr Prakash Christiansen dan Pengurus United Overseas Bank cawangan Kuala Lumpur, Zurina Hambari.

Mohd Niza berkata, dengan menggunakan video atau gambar intim yang telah dirakam, scammer akan mula melakukan ugutan duit dan mengugut untuk menyebarkan ‘bahan bukti’.

“Mangsa akan diminta memindahkan wang secara berulang kali sehingga ada kes yang mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya.

Sementara itu Dr. Prakash berkata, pengguna Internet dinasihatkan tidak mudah mendedahkan
perkara peribadi di media sosial bagi mengelak menjadi mangsa.

Katanya, keterbukaan individu untuk berkongsi perasaan, gambar, kemewahan dan masalah peribadi secara terbuka kerap dijadikan perangkap oleh scammer.

Selain itu katanya, ramai juga yang menjadi mangsa kerana dengan mudah mempercayai tawaran atau janji-janji indah walaupun kedengaran tidak masuk akal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here