TH nafi wujud kartel dalam lantikan syarikat Pengelola Jemaah Haji

0
31
Syed Saleh Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyangkal dakwaan kewujudan ‘kartel’ yang mempengaruhi pemilihan syarikat pelancongan sebagai syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pemohonan PJH yang berlesen dibuka setiap tahun mengikut syarat yang ditetapkan.

“Syarat-syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan Haji yang terbaik termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah Haji Malaysia.

“Oleh itu, dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas. Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen di bawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Saleh berkata, permohonan PJH dibuka setiap tahun dan ditutup pada setiap 1 Ramadan dengan penilaian dan pemeriksaan terhadap 10 kriteria penting sebelum diluluskan.

“Sistem pemilihan itu telah diguna pakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala setiap tahun,” katanya sambil memaklumkan dua PJH baharu dipilih pada tahun ini, iaitu Az Zuha Group Travel and Tours Sdn Bhd dan Mimm Travel and Tours Sdn Bhd.

Antaranya adalah pengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut dan Rekod Bank Negara Malaysia melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mengandungi maklumat kewangan Pengarah Syarikat, Pemegang Saham dan Pengurusan Syarikat.

Turut dinilai laporan juru audit yang bersih untuk dua tahun terkini, laporan kewangan syarikat tiga tahun terakhir, modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000, lulus penilaian umrah oleh Pejabat TH di Arab Saudi dan tiada kes mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here