Aidiladha : PM mahu umat Islam hayati pengorbanan kisah Nabi Ibrahim dan Ismail

0
19
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA –  Umat Islam di negara ini diajak mengambil iktibar dan menghayati kisah Nabi Ibrahim dan anakanda baginda, Nabi Ismail dalam mendepani cabaran hidup seharian sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penghayatan kepada kisah pengorbanan itu mengajar umat Islam erti keinsafan, kebersamaan dan kesyukuran.

“Dengan nilai-nilai ini kita dapat meneruskan kehidupan yang lebih harmoni di sebalik pelbagai ketidak tentuan dunia yang berlaku pada hari ini.

“Malah semangat toleransi yang berasaskan konsep Tasamuh dalam Islam menjadi salah satu elemen penting untuk mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidiladha malam ini.

Perdana Menteri berkata, sikap berlapang dada mampu mengelakkan perbalahan yang merugikan demi pembangunan ummah dan negara.

Beliau berkata, nilai Tasamuh juga mengajar umat Islam untuk tidak membezakan status dan darjat sesama insan sekaligus mencerminkan semangat sebuah Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan sentiasa hidup dalam aman dan damai.

“Kesanggupan berkorban harta kekayaan bagi membantu yang daif adalah kebajikan yang diseru oleh Islam. Ia adalah simbol ketaatan, ketakwaan dan kehambaan kita kepada Maha Pencipta,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, Aidiladha juga mengajar kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT dan berkorban untuk membantu yang memerlukan dan menginsafi nasib mereka yang lebih daif dengan melakukan kebajikan agar yang miskin tidak terpinggir.

Beliau berkata, ia selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang saya cetuskan pada Ogos tahun lalu iaitu bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang terpinggir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here