Anak Shuib Sepahtu teruja dapat menunaikan ‘haji’

0
49
Pelajar-pelajar mendengar taklimat yang diberikan oleh ustaz sebelum memulakan simulasi haji di Great Hall, Sekolah Islam Antarabangsa Brainy Bunch, Cyberjaya. Kredit foto – Amir Afiq Jamaludin.

CYBERJAYA – Sekolah Islam Antarabangsa Brainy Bunch buat julung kalinya mengadakan program simulasi haji setelah dua tahun ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 di sini, hari ini.

Program tersebut yang diadakan bermula pukul 9 pagi melibatkan kira-kira 100 pelajar dengan mendapat tunjuk ajar oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, menurut salah seorang peserta, Uwais al Qorni Shahmira, 11, dia berasa teruja dapat melakukan simulasi haji itu buat pertama kali bersama rakan-rakannya.

Uwais al Qorni Shahmira, 11 (hadapan) bergambar bersama rakan-rakan sekelasnya di selepas menyempurnakan simulasi haji di Great Hall, Sekolah Islam Antarabangsa Brainy Bunch, Cyberjaya. Kredit foto – Amir Afiq Jamaludin.

“Alhamdulillah hari ini dapat buat simulasi haji dengan kawan-kawan, insya-Allah nanti kalau ada rezeki saya nak pergi haji pula,” katanya yang juga anak kepada selebriti terkenal Shuib Sepahtu kepada Malakat Tribune.

Berkongsi pengalaman serupa, Sharifah Jood Diaa Musa al-Junaidi, 10, berkata, program itu melatih dirinya untuk bersedia menunaikan haji pada masa akan datang.

“Sekarang saya dah tahu macam mana buat haji jadi bila dah besar saya dah tahu cara nak buat haji.

“Saya akan tanam impian untuk mengerjakan haji apabila sudah dewasa nanti,” katanya yang merupakan keturunan Palestin.

Pelajar-pelajar melakukan simulasi Tawaf mengelilingi replika Kaabah di Great Hall, Sekolah Islam Antarabangsa Brainy Bunch, Cyberjaya. Kredit foto – Amir Afiq Jamaludin.

Sementara itu, Naib Pengetua Sekolah Islam Antarabangsa Brainy Bunch, Abdullah Hafizzan Mokhtar berkata, tujuan program itu diadakan adalah untuk memberikan pengalaman kepada pelajar sekolah berkenaan melakukan haji secara simulasi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

“Program ini dinamakan sebagai Brainy Bunch Haj Simulation. Ini adalah kali kedua kami buat program ini sejak tahun 2019 dan alhamdulillah setelah dua tahun tak dapat buat sebab pandemik Covid-19, tahun ini kita dapat buat balik.

“Program hari ini lebih kepada praktikal haji dan kalau kita tengok orang sebelum tunaikan haji, dia akan buat simulasi haji, tapi kali ini kami buat dengan pelajar-pelajar Brainy Bunch,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kepentingan progam itu, beliau berkata, program itu penting kerana haji merupakan salah satu rukun Islam dan perlu dipelajari bukan sahaja melalui teori semata-mata malah perlu dipraktikkan.

Pelajar-pelajar melakukan simulasi Sa’ie di Great Hall, Sekolah Islam Antarabangsa Brainy Bunch, Cyberjaya. Kredit foto – Amir Afiq Jamaludin.

“Kami lihat program ini penting bagi pelajar sebab haji ini adalah salah satu rukun Islam dan dalam kelas kita selalu belajar, untuk program ini apa yang kita ajar dekat pelajar itu kita aplikasikan dalam bentuk praktikal.

“Dalam suasana praktikal, kita bagi pelajar itu rasa suasana di Mekah dengan kita bina replika Kaabah, Hijir Ismail dan lain-lain.

“Kita nak bagi maklumat itu sampai kepada pelajar biar nampak lebih menarik minat mereka untuk pergi buat haji,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here