Angka miskin tegar dalam negara meningkat

0
11

CYBERJAYA – Bilangan miskin tegar di dalam negara kini meningkat kepada 144,932 akibat pandemik Covid-19.

Jumlah itu melonjak berbanding 44,829 jumlah miskin tegar pada dua tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, angka tersebut berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional atau eKasih yang diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, setakat 30 Jun tahun ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan telah melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang telah bermula Jun lalu.

“BMTKM akan dilaksanakan di 1,000 lokaliti dalam tempoh tiga tahun enam bulan.

“Fasa 1 telah mula dilaksanakan pada bulan Jun 2022 melibatkan 80 lokaliti secara rintis,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Sabak, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu) yang meminta bilangan rakyat miskin tegar diumum di Dewan Rakyat termasuk langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menanganinya.

Katanya, BMTKM merupakan pelengkap kepada program sedia ada untuk menangani isu kemiskinan merentasi semua etnik dalam Keluarga Malaysia.

Jelasnya, program-program menerusi BMTKM dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan rakyat merangkumi projek-projek pertanian, penternakan, keusahawanan, pemasaran serta pembangunan minda dan motivasi dengan sasaran tambahan pendapatan RM300 hingga RM2,000 sebulan.

Ujar Mustapa, Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Daerah dan Cawangan bertanggungjawab untuk memantau dan membuat laporan bilanan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejayaan BMTKM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here