ATM dikerah bantu KPDNHEP, PDRM pastikan tiada penyelewengan minyak masak bersubsidi

0
27

CYBERJAYA – Kerajaan mengerahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menggempur kilang-kilang pembungkusan minyak masak sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, langkah ini dilaksanakan bagi memastikan peruntukan subsidi sebanyak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

Jelas beliau, perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara

“Kerajaan akan melaksanakan tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus juga aan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL).

Mesyuarat itu turut memutuskan untuk melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh beberapa Menteri Kabinet serta wakil dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

Sebanyak lima kertas telah dibentangkan dalam mesyuarat itu oleh tiga Kementerian iaitu dari KPDNHEP, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta DOSM.

Mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah ini yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

PJKM akan melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan serta diperluas ke institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Program yang akan diterajui bersama oleh KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan ini turut dilaksanakan dalam konsep bergerak.

Ismail Sabri menambah, kerajaan akan turut memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

”Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here