Awas panggilan palsu, LHDN kongsi taktik terkini scammer perdaya mangsa

0
57
LHDN

KES-KES scammer yang semakin berleluasa dengan pelbagai taktik penipuan terkini seringkali menjadi topik perbincangan hangat sejak kebelakangan ini.

Kewujudan scammer ini menakutkan orang ramai dan lebih mengejutkan lagi, ia melibatkan penyamaran sebagai pihak berkuasa tempatan bagi mengaburi mangsa. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga tidak terkecuali dikaitkan dengan sindiket tersebut sehingga menyebabkan orang ramai keliru dan tertipu.

Persoalannya, bagaimanakah penipuan ini berlaku dan apakah tindakan yang boleh dilakukan sekiranya perkara ini terjadi?

Untuk makluman, terdapat beberapa modus operandi (MO) yang sering dilakukan oleh sindiket ini bagi memperdayakan mangsa. Antara MO tersebut ialah seperti yang berikut:

i. Kes Tunggakan Cukai/Pelarian Cukai

Mangsa menerima mesej, panggilan telefon, surat atau e-mel daripada sindiket yang memaklumkan bahawa terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan. Mangsa dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat pindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan sebagai Keldai Akaun.

Terdapat juga kes yang mana mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai LHDN atau pegawai polis dan memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak seterusnya mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu yang dikatakan milik BNM bagi tujuan siasatan. Setelah aplikasi tersebut dimuat turun oleh mangsa, maka akan bermulalah operasi scammer tersebut memecah masuk akaun bank mangsa secara dalam talian kerana mereka dipercayai telah mengetahui username dan password perbankan dalam talian mangsa.

ii. Pelarian Cukai, Kegiatan Jenayah dan Pengubahan Wang Haram

Mangsa akan dihubungi oleh scammer dan dimaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan pelarian cukai, jenayah dan kegiatan pengubahan wang haram. Sehubungan itu, akaun bank milik mangsa diancam akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan geng scammer yang lain yang menyamar sebagai ‘pegawai polis’ atau ‘pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)’ atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa bagi tujuan menimbulkan perasaan panik dalam kalangan mangsa.

Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun milik mangsa dibekukan, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang tersebut ke akaun bank pihak ketiga (Keldai Akaun) yang kononnya akan dipindahkan semula ke akaun milik mangsa apabila ‘kes jenayah’ mangsa telah selesai.

iii. Lawatan Pungutan/Audit/Siasatan Cukai

Mangsa menerima kunjungan ‘pegawai LHDN’ untuk memungut cukai atau melakukan audit dan siasatan cukai.

Sindiket akan meminta dokumen pendapatan atau perniagaan mangsa dan memaklumkan bahawa telah tersalah lapor cukai pendapatan. Mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran ‘baki cukai tambahan’ yang ditaksirkan ke dalam akaun bukan milik LHDN.

iv. Keuntungan Penjualan Saham

Mangsa menerima surat atau e-mel memaklumkan bahawa mereka terlibat dengan aktiviti perdagangan saham dengan salah satu syarikat pelaburan dan dikehendaki membuat bayaran tunggakan cukai berdasarkan arahan yang diberikan oleh sindiket penipuan.

v. Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar

Mangsa menerima e-mel memaklumkan bahawa mereka mempunyai cukai terlebih bayar yang akan dipulangkan semula oleh LHDN. Mangsa diminta untuk klik pada pautan yang disediakan di dalam e-mel palsu tersebut dan arahan akan diberikan agar mangsa mendedahkan butiran akaun bank termasuklah kata laluan perbankan internet mereka kononnya bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dapat dibuat oleh LHDN.

vi. Kaedah Spoofing

Mangsa akan dihubungi oleh ‘pegawai LHDN’ dengan menggunakan teknik spoofing iaitu penyamaran kepada talian telefon rasmi LHDN bagi tujuan menghubungi mangsa serta memperdayakan mereka.

Ini merupakan teknik terkini scammer kerana talian telefon yang digunakan seakan-akan talian yang sebenar dan mangsa akan terpedaya dan beranggapan ia adalah talian rasmi LHDN.

Mangsa yang panik akan memberikan maklumat sulit kepada scammer kerana ugutan dan tekanan dengan tuduhan-tudahan yang tidak dilakukan mangsa.

Mangsa mula menyedari diri mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga
(Keldai Akaun) dan suspek tidak dapat dihubungi semula.

Pepatah ada mengatakan “Berani kerana benar, takut kerana salah, justeru itu jika kita tidak melakukan apa-apa kesalahan kenapa perlu rasa takut? Budaya masyarakat yang berfikiran semua masalah boleh ‘setel tepi’ menjadikan golongan berkenaan menjadi sasaran mudah buat sindiket penyangak kewangan atau penipuan scammer ini.

Oleh yang demikian, LHDN ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan ambil peduli dengan perkara-perkara seperti berikut bagi mengelakkan diri daripada perangkap scammer:

i. Jangan dedahkan butiran perbankan terutamanya kata laluan perbankan dalam talian.

ii. Jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel yang meragukan.

iii. Pastikan bayaran cukai hanya dibuat ke akaun LHDN dan jangan sesekali membuat bayaran cukai atau memindahkan wang ke akaun pihak ketiga
yang mungkin digunakan sebagai Keldai Akaun.

iv. Jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta oleh pemanggil yang tidak dikenali.

v. Jangan membuat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali. Semak nombor telefon LHDN di Portal Rasmi LHDN.

vi. Pastikan e-mel rasmi LHDN menggunakan domain @hasil.gov.my.

Adalah ditegaskan bahawa sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan oleh LHDN secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.

LHDN juga tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana Ibu Pejabat Balai Polis atau agensi penguatkuasaan lain bagi tujuan pengesahan tunggakan cukai.

Perbuatan scammer oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini sememangnya
berniat jahat untuk menipu mangsa sekali gus menjatuhkan imej serta reputasi LHDN sebagai agensi pentadbir cukai kerajaan yang berintegriti.

Berdasarkan rekod LHDN, bermula Januari 2022 sehingga tempoh ini, sebanyak 162
peringatan serta 12 hebahan berbentuk infografik berkaitan aktiviti penipuan scammer
telah dimuat naik melalui saluran media sosial LHDN iaitu Facebook, Twitter dan Instagram

LHDN amat komited dan konsisten dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai. Sehubungan itu, bagi memastikan para pembayar cukai selamat daripada sebarang penipuan cukai oleh sindiket ini beberapa pendekatan bagi meningkat kesedaran orang ramai telah diambil seperti berikut:

i. Mendidik pembayar cukai melalui hebahan infografik kesedaran cukai.
Sebagai contoh, “Berhati-hati dengan penipu” di platform media sosial
LHDN termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

ii. Mendidik pembayar cukai melalui hebahan video pendek kesedaran cukai
melalui platform LHDNTube seperti contoh di pautan berikut:
(13) Amaran Scam oleh LHDN – YouTube
(13) Elak Jadi Mangsa Scammer – YouTube
(13) AWAS PENIPUAN KEWANGAN DAN PERCUKAIAN – YouTube

iii. Mengeluar serta menerbitkan Kenyataan Media Rasmi LHDN dari semasa ke semasa untuk memberi amaran serta mengingatkan orang ramai akan bahayanya kegiatan scammer ini.

iv. Menjalinkan kerjasama serta kolaborasi bersama pelbagai agensi radio dan
televisyen bagi meningkatkan kesedaran cukai terhadap orang ramai.

v. Membuat pemakluman kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati
terhadap modus operandi yang digunakan oleh penipu cukai melalui ‘Scam
Alert’ yang terdapat di Portal Rasmi HASiL yang boleh diakses melalui
pautan berikut: https://www.hasil.gov.my/en/beware-of-tax-scams/

LHDN juga ingin menegaskan bahawa Pegawai LHDN adalah terikat dengan
kerahsiaan di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 (kerahsiaan
maklumat pembayar cukai), di mana maklumat peribadi pembayar cukai tidak sama sekali boleh didedahkan kepada pihak ketiga.

Justeru itu, orang ramai diminta berhati-hati agar tidak terjerat dengan perangkap scammer dan segera menghubungi talian Hasil Care Line (HCL) atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya di portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke
cawangan LHDN berhampiran sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkenaan hal percukaian.

Disediakan oleh:
Bahagian Komunikasi
Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here