Banjir Baling: Kerajaan sampaikan bantuan awal bernilai RM4,000 kepada setiap KIR

0
17
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar mewakili Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Baling, Kedah hari ini.

CYBERJAYA – Kerajaan menyampaikan bantuan awal yang bernilai RM4,000 kepada mangsa banjir kilat di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak, Baling, Kedah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan awal kepada setiap ketua isi rumah (KIR) tersebut melibatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000, Bantuan Barang Keperluan Asas sebanyak RM2,500 dan Bantuan Barangan Elektrik sebanyak RM500.

Selain itu, katanya, kerajaan juga menawarkan bantuan pembaikan rumah kepada mangsa terlibat.

“Setiausaha Politik saya, Datuk Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyampaikan BWI kepada semua KIR pada hari ini termasuk tiga waris mangsa yang telah meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang.

Pasukan bomba membantu penduduk yang terlibat dalam kejadian banjir di Baling, Kedah.

“Kesemua bantuan awal ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM500,000,” katanya yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Turkiye atas jemputan Presidennya, Recep Tayyip Erdoğan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bencana itu telah meragut tiga nyawa dan menjejaskan seramai 1,490 orang mangsa yang melibatkan 112 KIR.

Sehubungan itu, katanya, tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS SMK Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah.

“Kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah ini mengalami kerosakan dan sebanyak 25 buah rumah telah musnah sama sekali.

“Saya telah mengarahkan semua agensi Kerajaan yang terlibat untuk mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa-mangsa tragedi ini ada tempat berteduh yang selesa selepas ini.

“Bantuan-bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal. Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga akan memastikan kebajikan dan keselamatan kesemua mangsa diberi perhatian yang sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here