Banjir Baling: Mayat mangsa terakhir ditemukan

0
7

BALING – Mayat remaja lelaki daripada tiga sekeluarga yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang di sini petang semalam, ditemukan pada pukul 11.55 pagi tadi.

Laporan Bernama menyebut, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai itu ditemukan tidak jauh dari lokasi dua mayat yang ditemukan sebelum ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata mayat mangsa ketiga ditemukan kira-kira dua jam selepas dua mayat pada 9.30 pagi tadi di lokasi penemuan berhampiran.

“Mayatnya timbunan ditemukan di bawah kayu dan berjaya dikeluarkan oleh pihak kami yang kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian banjir di
Kampung Iboi, Kupang di sini hari ini.

Katanya mayat remaja itu dalam keadaan sempurna tanpa kesan kecederaan.

Terdahulu, dua mayat daripada tiga sekeluarga itu, Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan, ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, ketiga-tiga mangsa berada di dalam sebuah rumah yang kemudian dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena
kepala air yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here