Bau busuk rupanya berpunca dari tapak pelupusan haram

0
175

DENGKIL – Pencemaran bau seakan bau kencing kucing sejak seminggu lepas membawa kepada penemuan tapak pelupusan haram dipenuhi sisa kimia bercampur dengan sampah domestik di Kampung Semarang, hari ini.

Siasatan yang dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak 30 Jun lalu susulan aduan orang ramai mengenai bau itu berjaya mengesan lokasi pencemaran itu semalam yang terletak kira-kira 700 meter dari jajaran Sungai Langat.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dianggarkan terdapat 100 tong besi berkapasiti 200 liter mengandungi sisa kimia disyaki buangan terjadual berbentuk cecair, separa cecair dan pepejal berwarna di tapak pencemaran itu.

“Terdapat juga sisa bekas ‘intermediate bulk container’ (IBC) yang telah dipotong dan isi kandungannya dialirkan dalam lubang besar digali oleh pihak yang melupuskan sisa itu,” katanya pada media ketika meninjau lokasi pencemaran itu, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, pencemaran bau dari tapak pelupusan haram boleh dihidu penduduk di Taman Emas dan Taman Kristal di Dengkil, dan Presint 5, Putrajaya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pelupusan sisa haram telah berlaku sejak berbulan lepas dan jumlah sisa yang bertambah mengakibatkan bau kurang menyenangkan.

Tuan Ibrahim berkata, setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes tersebut, namun pihak JAS telah menggerakkan pasukan siasatan bagi mengenal pasti pelaku, kilang terlibat serta kontraktor pengangkut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here