Bekalan air di Pulau Pinang kembali pulih

0
15
Loji rawatan air (LRA) Sungai Dua yang tercemar (keruh) akibat banjir di Baling, Kedah, baru-baru ini.

GEORGETOWN – Bekalan air di negeri ini pulih sejak semalam selepas hampir seminggu mengalami gangguan berikutan penutupan sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Dua dan kejadian paip pecah di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu kenyataan berkata, bekalan air mula pulih sepenuhnya kira-kira pukul 11 malam tadi.

“PBAPP mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu secara langsung atau tidak dalam memulihkan bekalan air di negeri ini.

PBAPP juga memohon maaf kepada semua pengguna air atas kesulitan sepanjang tempoh itu,” katanya.

Operasi LRA di Sungai Dua dihenti tugas selama empat jam Rabu minggu lalu susulan banjir di Baling, Kedah yang menyebabkan air Sungai Muda keruh.

Gangguan bekalan air itu menyebabkan 80 peratus pengguna atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun di seluruh negeri terputus bekalan air.

Menjawab mengenai soalan pengguna berhubung masa terlalu lama diambil untuk memulihkan bekalan air terawat di Pulau Pinang, menurut PBAPP, terdapat 59 kolam air air terawat dan 42 menara air terawat di Pulau Pinang.

”Kira-kira 80 peratus daripada kolam air dan menara air ini perlu diisi dengan air yang mencukupi sebelum 80 peratus daripada 95 rumah pam penggalak di Pulau Pinang dapat dimulakan semula secara manual untuk mengepam air kepada pengguna yang terjejas.

”Kira-kira 4,696 kilometer saluran paip (100mm dan ke atas) telah dipasang untuk menghantar bekalan air kepada kira-kira 660,000 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, kira-kira 80 peratus daripada saluran paip itu telah dikosongkan daripada air berikutan penutupan LRA Sungai Dua pada 6 Julai lalu.

”Oleh itu, kakitangan PBAPP terpaksa melepaskan ‘sendat udara’ secara manual sebelum tekanan saluran paip boleh dinormalkan.

Bekalan air untuk pengguna terjejas yang tinggal di kawasan tanah tinggi atau hujung paip agihan (HPA) di Pulau Pinang hanya boleh dipulihkan selepas bekalan air pulih di kawasan lebih rendah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here