Bekalan elektrik kembali pulih sepenuhnya, TNB sahkan kerosakan PMU Yong Peng punca blackout

0
68
Keadaan di KLCC yang mengalami masalah gangguan elektrik sebentar tadi

CYBERJAYA – Gangguan bekalan elektrik yang berlaku sejak tengah hari tadi di beberapa kawasan di Semenanjung kembali pulih sebentar tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan berkata, gangguan itu telah berjaya dipulihkan sepenuhnya di semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada jam 3.02 petang tadi.

“Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, hasil siasatan TNB mendapati gangguan bekalan yang bermula pada jam 12:39 tengahari itu berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Katanya, ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.

“Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here