Bekas Peguam Negara nafi wakili Jho Low selesaikan kes 1MDB

0
18
Tan Sri Mohamed Apandi Ali

CYBERJAYA – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan beliau bukan wakil kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam rundingan untuk penyelesaian dengan kerajaan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, sebaliknya telah dihubungi firma guaman antarabangsa, Kobre & Kim dari Washington, Amerika Syarikat (AS) yang memohon bantuan mengatur mesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada akhir Mei lalu, lapor BH Online.

“Saya kemudian mengatur beberapa siri perjumpaan di mana wakil daripada Kobre & Kim datang ke Malaysia. Pada perjumpaan di AGC itu, kerajaan diwakili peguam negara dan pegawainya serta pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tujuan perjumpaan itu adalah bagi berbincang untuk membawa balik dana yang didakwa diseleweng Jho Low daripada 1MDB. Selepas perjumpaan terbabit di mana pada waktu itu dilihat positif, ia kemudian dibatalkan oleh AGC secara tiba-tiba atas alasan yang hanya diketahui mereka,” katanya kepada BH Online.

Semalam, sebuah portal berita yang memetik sumber, mendakwa Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung kes terbabit.

Menurut laporan berkenaan yang kemudian dilapor semula oleh beberapa portal media yang lain, tawaran oleh ahli perniagaan itu yang dirunding melalui Mohamed Apandi, bagaimanapun telah ditolak.

Terdahlu, AGC dalam kenyataan ringkas, mengesahkan bahawa Jho Low ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan berhubung kes berkenaan, namun ditolak oleh pihak kerajaan.

“AGC merujuk kepada beberapa laporan berita berkenaan percubaan Jho Low untuk membuat tawaran penyelesaian dengan Kerajaan Malaysia. AGC mengesahkan bahawa dalam tahun ini, Jho Low melalui wakilnya telah membuat percubaan untuk mendapatkan satu penyelesaian dengan Kerajaan Malaysia.

“Dalam percubaan ini, wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi Kerajaan Malaysia termasuk AGC. Kesemua tawaran penyelesaian daripada wakil Jho Low telah ditolak oleh AGC,” kata pejabat berkenaan.

Jho Low yang didakwa menyeleweng wang 1MDB berdepan saman AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.85 bilion) yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here