Bukan Islam bukan penghalang Hock Cheng bantu komuniti Islam selama 38 tahun 

0
26
Teh Hock Cheng, 59, menerima anugerah Ibnu Uraiqith sempena Majlis Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka di Pusat Islam Melaka. Kredit foto – Metro

MELAKA – “Walaupun bukan Islam, namun hati saya terdorong untuk menyumbang ikhlas termasuk bagi program Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” kata Teh Hock Cheng, 59 selepas menerima anugerah Ibnu Uraiqith di sini, tadi.

Hock Cheng berkata, beliau tidak peduli kata orang sebaliknya akan terus memberi bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama.

“Namun masjid, surau, asnaf dan orang miskin sentiasa menjadi keutamaan untuk diberikan bantuan.

“Bantuan itu turut disalurkan ketika pandemik Covid-19 melanda negara termasuk usaha membaik pulih surau terbakar dan bantuan terhadap masjid,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengarah syarikat pembekalan makanan dan perusahaan telah menyumbang khidmat kepada komuniti Islam selama lebih 38 tahun.

Anugerah tersebut telah disampaikan di bawah kategori bukan Muslim yang banyak memberi sumbangan kepada Islam sempena Majlis Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka di Pusat Islam Melaka.

Pada majlis berkenaan Hock Cheng menerima sijil dan wang tunai RM3,000 disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau adalah antara 12 penerima Anugerah Khas Tokoh-Tokoh Maal Hijrah 1444H Melaka tahun ini.

Di samping itu, hadiah tokoh Maal Hijrah utama disandang Datuk Hasnah Salam, 68, yang menerima wang tunai RM10,000 beserta sijil.

Aktivis sosial dan kebajikan peringkat negeri dan antarabangsa itu juga tidak menduga menerima anugerah berkenaan kerana menganggap apa dilakukan adalah ibadah.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, umat Islam di negeri ini perlu menghayati pengajaran daripada kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW untuk menyuntik semangat perjuangan dalam mengembalikan keagungan Islam menerusi penghijrahan minda ke arah yang lebih baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here