Bukan YB, kontraktor akui lempar mercun bola di Sungai Sepia

0
50
Tangkap layar video Tiktok yang mendakwa tindakan seorang ADUN melempar bom di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Pahang.

JERANTUT – Seorang kontraktor mengaku melempar mercun bola dalam sungai ketika mengikuti lawatan kerja rombongan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, dekat sini, pada 15 dan 16 Julai lalu.

Mohd Rosli Awang, 44, bagaimanapun menafikan menggunakan bom ikan untuk menangkap ikan di sungai itu sebagaimana tular di media sosial sejak minggu lalu.

“Memang saya yang lempar mercun bola ke dalam sungai, bukan beliau (ADUN Pahang) seperti diviralkan di media sosial.

“Saya lempar mercun bola bukan untuk menangkap ikan, tetapi sekadar suka suka sahaja,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Mohd Rosli mengaku beliau menggunakan enam biji mercun bola jenama Ap Boom tetapi hanya dua sahaja meletup.

Beliau juga mendakwa tiada ikan yang timbul dan mati akibat letupan mercun itu tetapi mungkin memberi gangguan bunyi kepada kumpulan pemancing berdekatan.

“Perbuatan saya tidak ada kena mengena dengan pihak lain khususnya wakil rakyat berkenaan yang turut sama dalam rangka lawatan kerja ke Ulu Tembeling pada 15 dan 16 Julai lalu.

“Saya antara ahli rombongan tersebut bagi meninjau persiapan terakhir pelaksanaan projek jalan dan juga pembangunan sektor pelancongan di kawasan Ulu Tembeling, ” katanya.

Mohd Rosli turut menjelaskan, mereka berehat seketika dan memasang khemah di tepi Sungai Sepia, berhampiran dengan kumpulan pemancing lain.

Katanya, jarak kedudukan khemah mereka dengan pemancing dianggarkan lebih 50 meter dan tidak mengganggu mereka, malah wakil rakyat berkenaan turut menyapa dan berbual dengan kumpulan pemancing berkenaan

Mohd Rosli berkata, beliau bagaimanapun terkejut dengan kejadian tular di media sosial oleh kumpulan pemancing terbabit pada 18 Julai lalu.

“Justeru, bagi menjaga nama baik wakil rakyat berkenaan, saya membuat laporan polis di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan kerana kebetulan ada kerja di sana bagi menafikan menggunakan bom peledak bagi mendapatkan ikan.

“Dalam hal ini wakil rakyat berkenaan (ADUN Pulau Tawar) langsung tidak terbabit dalam perkara ini,” katanya.

Beliau yang membuat laporan polis di Balai Polis Nilai jam 9 pagi semalam juga berkata, beliau membawa mercun bola itu sebagai perlindungan daripada haiwan liar jika masuk ke dalam hutan sebagai keselamatan khususnya di kawasan Ulu Tembeling.

“Saya juga menyerahkan baki mercun itu kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Jerantut pada 17 Julai lalu,” katanya.

Katanya, pihak PERHILITAN ada juga menghubunginya untuk memberi keterangan tetapi tarikh dan masa belum ditetapkan lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here