
PUTRAJAYA – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mewakili sebanyak 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam seluruh Malaysia mendesak kerajaan menyiasat dakwaan ada golongan tertentu yang membiayai gerakan memburukan Islam susulan kes menghina Islam yang semakin serius sejak kebelakangan ini.
Menurut Penasihatnya, Ustaz Mohd Kamaruzzaman, isu sensitif seperti itu sudah pasti tidak akan berani dilakukan oleh pihak tertentu sekiranya tiada sokongan yang kuat di belakang mereka.

“Hal ini demikian kerana, mereka pasti sedar mereka akan dikenakan tindakan undang-undang seperti saman dan sebagainya.
“Saya pasti ada pihak yang berada di belakang yang menggunakan mereka sebagai “puppet”, tapi siapa sebenarnya yang menaja yang membiayai projek ini sehinggga wujud golongan yang berani melakukan perkara sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam yang menghimpunkan pelbagai NGO Islam di Dataran Masjid Putra, Putrajaya.
Yang hadir sama, Presiden One Centre Malaysia Perlis, Zamri Vinoth; Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustaffa dan Presiden Gabungan Mahasiswa Se-Malaysia (GAMIS), Mohd Izzudin Aziz.
Sementara itu, Zamri mempersoalkan sama ada bangsa lain akan mengambil sikap diam membisu sekiranya terdapat sebuah kelab yang dibina bagi tujuan menghina bangsa dan agama mereka.
“Sebagai contoh, kita ‘cuci’ bangsa India dan Cina dan kita minta mereka buat seperti mana yang dibuat di Kelab Komedi Crackhouse adakah mereka akan berdiam diri?

“Saya lihat dalam kalangan pemimpin yang disebelah sana juga mereka tidak bersuara menentang perkara ini,” katanya lagi.
Himpunan yang mengumpulkan sokongan 300 NGO Islam dari seluruh Malaysia ini juga turut mengemukaan beberapa tuntutan untuk mengambil tindakan lebih keras kepada pihak yang menggugat agama Islam.
Dalam pada itu, mereka juga sebulat suara bersetuju agar Kelab Komedi Crackhouse untuk terus ditutup susulan kes menghina Islam yang berlaku di kelab berkenaan.