Cendol istimewa The Chendulzz nanti pengunjung sempena Program R&R di Malakat Mall 

0
14
Gerai The Chendulzz yang dibuka di Malakat Square, Malakat Mall.

CYBERJAYA – Mendengar pada namanya “The Chendulz” agak unik namun hidangan cendol yang dijual itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dengan menggunakan resepi yang dicipta sendiri.

Menurut pemilik gerai The Chendulzz, Khairun Hafizan Othman, 32, dia baru datang berniaga sejak semalam sempena Program Kenduri Durian (Kendurian) di Malakat Mall.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Pijan juga berkata, Program Kendurian yang diadakan pada hari ini dan esok  merupakan antara faktor dia sanggup datang dari Setapak untuk berniaga di sini.

Pemilik gerai The Chendulzz, Khairun Hafizan Othman, 32.

“Saya baru sahaja berniaga di sini untuk mencari angin baharu dan asalnya saya berniaga di hadapan Uptown Danau Kota, Setapak.

“Setakat ini sambutan masih lagi biasa sebab saya baru sahaja berniaga di sini semalam,” katanya kepada Malakat Tribune.

Dalam pada itu, ditanya mengenai resepi cendol tersebut, katanya, cendol itu dibuatnya sendiri dan telah empat tahun mengusahakan perniagaan berkenaan.

“Rasa cendol buat sendiri dengan cendol beli di kedai adalah berbeza sebab bila buat sendiri rasa pandan tu lagi sedap.

“Selain daripada membuka gerai, saya juga ada mengambil tempahan bagi majlis kenduri kahwin, majlis akikah, majlis doa selamat dan bermacam-macam lagi,” ujarnya lagi.

Bermula dengan harga RM5 sahaja bagi cendol biasa, pengunjung juga boleh mencuba cendol jagung, cendol pulut, cendol durian dan air batu campur di gerai miliknya.

Program Kendurian yang diadakan sempena Program Riuh dan Rancak (R&R) diadakan di Malakat Square bermula semalam hingga esok dari jam 4 petang sehingga 12 malam.

Program tersebut menghimpunkan pelbagai jenis barang termasuk makanan, minuman, pakaian, aksesori, kraftangan, permainan dan lain-lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here