Covid-19: 7 juta penduduk Malaysia masih belum ambil dos penggalak – PM

0
11
Gambar hiasan

BERA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan penduduk Malaysia yang belum mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 supaya segera berbuat demikian susulan peningkatan kes baharu ketika ini.

Perdana Menteri berkata, walaupun dos penggalak tidak diwajibkan, pengambilannya akan dapat memastikan perlindungan lebih baik daripada jangkitan virus berbahaya itu, terutama dengan kemunculan varian baharu.

“Kes harian di negara ini sudah meningkat melebihi 3,000. Sebelum ini, ada subvarian Omicron BA1 dan BA2, kini ada jangkitan BA5 yang meningkat.

“Ada kira-kira tujuh juta penduduk di Malaysia belum mengambil dos penggalak dan saya nasihatkan mereka mengambilnya segera,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Program Korban Perdana Parlimen Bera di Masjid Darul Fikri, di sini hari ini.

Semalam, sebanyak 3,264 jangkitan baharu COVID-19 direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 4,595,974.

Berdasarkan laporan COVIDNow, sebanyak 3,259 kes melibatkan jangkitan tempatan dan lima kes import.

Jumlah kes aktif pula 35,882 dengan 96.6 peratus atau 34,659 menjalani kuarantin di rumah, 0.1 peratus atau 24 orang dirawat di pusat kuarantin dan pusat rawatan, manakala 1,156 atau 3.2 peratus dirawat di hospital seluruh negara, termasuk 43 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here