Covid-19 & Influenza : Kita di ambang dua wabak maut

0
60
Murid-murid menjadi antara golongan yang paling terdedah kepada jangkitan influenza.

MEDIA sejak kebelakangan ini melaporkan peningkatan ketara jangkitan influenza atau flu dalam kebimbangan masyarakat terhadap wabak Covid-19 yang mula menurun.


Namun serangan influenza sejak beberapa minggu lalu mencetuskan cemas yang hampir sama seperti serangan Covid-19 tidak lama dahulu sehingga populasi sekolah berkurangan secara mendadak.

Menurut Pakar Dasar Kesihatan Awam, Dr. Khor Swee Kheng, walaupun penularan flu tidak semudah Covid-19, kadar peningkatan kes flu dalam komuniti menunjukkan trend dan berpotensi untuk merebak.

Justeru katanya, masyarakat perlu memahami perbezaan antara dua wabak yang berkait rapat dengan pernafasan itu sebagai langkah rawatan dan pencegahan.

“Cara terbaik untuk mengesan samada seseorang pesakit mengalami penyakit selesema atau Covid-19 adalah melalui kit ujian yang mudah diperolehi. Ujian bagi selesema pula boleh dibuat di klinik dan hospital kerajaan atau swasta.

“Sepertimana vaksin diambil untuk mencegah Covid-19, orang ramai juga dinasihatkan mengambil vaksin flu,” katanya.

Dr. Khor Swee Kheng

Bagaimanapun katanya, kadar pengambilan vaksin flu dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi rendah menyebabkan ramai terdedah kepada jangkitan virus tersebut.
Seperti juga Covid-19, virus flu juga menjadikan kumpulan berisiko tinggi lebih terdedah kepada komplikasi penyakit yang teruk, berpanjangan dan membawa maut.

“Ramai yang takutkan Covid-19 tetapi mengabaikan ancaman flu walhal ia juga boleh menyerang sistem imun badan yang lemah dengan bahaya.

“Antara komplikasi yang serius akibat flu adalah jangkitan paru-paru dan keradangan jantung,” katanya.

Justeru katanya, golongan berumur 65 tahun dan ke atas menjadi antara golongan paling berisiko apabila dijangkiti flu.

Katanya, golonga lain termasuk wanita mengandung dan bayi dalam kandungan.
Keadaan itu katanya diburukkan lagi dengan keadaan cuaca tidak bermusim di Malaysia yang membolehkan virus itu berjangkit sepanjang tahun.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya mengambil pendekatan yang sama seperti Covid-19 dalam berdepan dengan influenza bagi mengurangkan risiko dari dua wabak berbahaya yang sedang menyerang negara ketika ini.

Perbezaan antara Covid-19 dengan Influenza
CARA PENYEBARAN
Covid-19 : Melalui pesakit yang batuk dan selesema, sentuhan, makanan yang tidak dimasak dengan bersih dan sempurna
Influenza : Melalui titisan salur pernafasan yang dilepaskan oleh pesakit dengan cara batuk atau bersin dan juga sentuhan.

SIMPTOM
Covid-19: Menunjukkan tanda-tanda demam, selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit badan dan sesak nafas.
Influenza : Demam, selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala dan sakit badan.

KOMPLIKASI
Covid-19 : Jangkitan paru-paru, sindrom pernafasan akut teruk (SARS), kegagalan buah pinggang dan kematian.
Infleunza: Jangkitan paru-paru, keradangan pada jantung, otak, tisu otot.

RAWATAN
Covid-19 : Tiada spesifik
Influenza : Antiviral

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here