Dadah lebih RM 2 juta dirampas dari pasangan suami isteri

0
29
Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Polis menahan sepasang suami isteri dipercayai memiliki lebih 20 kilogram dadah jenis methamphetamine di sekitar kawasan Taman Panorama Lapangan Perdana, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota polis telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan isterinya, seorang warga Vietnam berusia 38 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas di dua lokasi itu melebihi RM2 juta dan dianggarkan boleh digunakan untuk 200,000 penagih.

“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki Cina tersebut, telah menjumpai 10 bungkusan plastik warga hijau bertulisan Guanyingwang bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 10,356 gram.

“Pemeriksaan susulan telah dilakukan terhadap sebuah kereta di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh, telah menjumpai lagi 10 bungkusan plastik warna hijau bertulisan Guanyingwang, bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 10,339 gram,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, polis turut menyita seutas jam tangan dengan tulisan Rolex, seutas rantai kaki, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan dengan anggaran jumlah keseluruhan lebih RM83,000.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala isterinya negatif.

“Pasangan suami isteri itu dipercayai telah melakukan aktiviti tersebut sejak tiga bulan lalu dan semakan awal mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau,” katanya.

Suspek direman tujuh hari sehingga 28 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here