Dakwaan penipuan guru tipu prestasi murid sesuatu yang subjektif – Radzi Jidin

0
27
Dr Radzi Jidin

GENTING HIGHLANDS – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan secara inklusif bersama barisan kepimpinan pendidikan negara berhubung dakwaan wujud penipuan pemarkahan oleh guru-guru untuk memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tercapai.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, walaupun pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu namun beliau beranggapan tindakan guru dalam isu itu sesuatu yang ‘subjektif’ kerana kemungkinan disebabkan mereka berdepan dengan tekanan.

“Kita kena faham, ulasan (pemarkahan) diberikan guru itu adalah berdasarkan justifikasi mereka. Jadi untuk kita kata bahawa guru ini menipu, guru itu tidak menipu, ia merupakan satu perkara yang agak subjektif.

“Tetapi saya tidak nafikan perkara ini mungkin ada berlaku dan kita juga sedar bahawa terdapat keperluan untuk kita bergerak bersama dengan kepimpinan pendidikan bagi memahami perkara sebenarnya yang ingin kita capai daripada sistem pendidikan,” katanya.

Radzi berkata demikian dalam sidang media Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-29 di Institut Aminuddin Baki (IAB) hari ini.

Media tempatan baru-baru ini mendedahkan luahan para guru yang mendakwa ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menipu pemarkahan murid semata-mata untuk memuaskan hati Pejabat Pendidikan Daerah yang mahukan ‘rekod’ cantik.

Sementara itu, Radzi berkata, KPM akan merangka pendekatan berbeza bagi mengatasi masalah penguasaan literasi yang masih rendah dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Pendidikan untuk mencari jalan bagi membolehkan pengajaran literasi dilaksanakan dengan berkesan

Beliau berkata, isu penguasaan literasi itu sampai kepada pengetahuan beliau sendiri selepas mengadakan pertemuan dengan guru sekolah menengah.

Katanya, paling mengejutkan apabila ada segelintir murid yang masih tidak berupaya membaca dengan baik walaupun sudah masuk ke peringkat sekolah menengah.

“Ia bukan bukan perkara baharu, malah sudah wujud sejak sebelum pandemik Covid-19. Jadi kita memerlukan satu bentuk program intervensi literasi awal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here