Demi lindungi Gunung Inas, Ahmad Bashah akui luluskan ladang musang king

0
45
Ahmad Bashah

ALOR SETAR – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, mengesahkan pentadbirannya meluluskan cadangan supaya Gunung Inas, Baling, dijadikan ladang durian Musang King berskala besar pada 2018.

Beliau berkata, kelulusan itu diberikan selepas ia dikemukakan oleh ECK Development Sdn Bhd.

Katanya, langkah itu bagi memastikan kawasan yang sudah dijalankan aktiviti pembalakan, dilindungi semula dengan tanaman baharu supaya tidak menjadi masalah kepada sekitarnya.

“Ketika saya mengambil alih sebagai Menteri Besar Kedah, sebuah syarikat tempatan iaitu ECK Development Sdn Bhd membeli syarikat Aman Mega yang sebelum itu diberi kelulusan menguruskan kawasan Gunung Inas di Baling oleh menteri besar terdahulu.

“Pada masa itu, cadangan yang dikemukakan ECK kepada saya adalah supaya kawasan berkenaan dijadikan ladang durian Musang King berskala besar.

“Ia bagi memastikan kawasan yang sebelum ini dijalankan aktiviti pembalakan dilindungi semula dengan tanaman supaya ia kelak tidak menjadi masalah kepada kawasan sekitar.

“Kelulusan itu tidak sama sekali untuk tujuan pembalakan baharu kerana aktiviti pembalakan sudah berlaku ketika pentadbiran sebelum itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, cadangan ECK itu kemudian diangkat untuk pertimbangan kerajaan negeri.

“Sebagai Menteri Besar, sudah tentu saya tidak boleh mengambil keputusan semberono. Ia perlu melalui beberapa peringkat penelitian dan mesyuarat khas di peringkat kerajaan.

“Sebenarnya banyak cadangan lain tetapi kerajaan pada masa itu mendapati cadangan ECK nampak lebih meyakinkan selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk ekonomi, alam semula jadi, kepentingan penduduk dan sebagainya.

“Saya tegaskan kerajaan memberi kelulusan itu untuk melindungi semula kawasan berkenaan, di samping kerajaan turut mendapat faedah dan pulangan yang difikirkan setimpal,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting bagi kerajaan ketika itu adalah bagi isu di kawasan hutan Gunung Inas diselesaikan segera.

Gunung Inas we

Pada masa sama, Ahmad Bashah menegaskan tidak berniat berpolitik dalam isu berkenaan atau cuba menuding jari kepada sesiapa kerana menyedari mana-mana kerajaan negeri tidak akan membiarkan masalah itu berterusan.

“Ketika berlaku pertukaran kerajaan negeri, perkara ini turut menerima tempias kerana lain orang, lain cara pemikirannya dan setiap Menteri Besar akan berubah cara berfikir, cara mentadbir negeri yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkara seperti ini.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya tidak lagi menjadi Menteri Besar dan tidak ada kuasa ke atas keputusan kerajaan. Sudah tentu Menteri Besar selepas saya yang mengambil alih tanggungjawab untuk hal pentadbiran negeri termasuk isu berkenaan.

“Bukan sesuatu yang luar biasa untuk kerajaan atau pimpinan negeri baharu membatal atau tidak meneruskan usaha kerajaan pentadbiran terdahulu dan bukan satu kesalahan meneruskannya, jadi terserah kepada mereka,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta kerajaan negeri ketika ini mencari jalan melindungi semula kawasan Gunung Inas yang sudah dibalak dan meminta isu berkenaan tidak dipolitikkan secara keterlaluan, selain berhenti menyalahkan satu sama lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here