Dr Mahathir wakaf tanah untuk dijadikan tapak perkuburan Islam

0
65
Tun Dr. Mahathir Mohamad

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mewakafkan sebidang tanah seluas 0.4775 hektar untuk dijadikan tanah perkuburan Islam bagi Masjid As-Shahab, Kepala Batas, Kedah.

Beliau berkata, tanah tersebut telah diserahkan untuk dibuat wakaf khas kepada Majlis Agama Islam negeri Kedah pada 4 Julai lalu.

“Sekiranya ianya tidak digunakan untuk tujuan asal wakaf, pihak masjid boleh guna untuk pertanian atau lain-lain yang boleh memberikan pulangan bagi masjid tersebut. Semoga ia memberi manfaat buat kariah di situ,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru supaya tanah wakaf yang terbiar diusahakan supaya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Wakaf ialah salah satu ibadah yang diperuntukkan oleh agama Islam. Ianya bertujuan untuk serah harta atau wang ringgit bagi kegunaan umat Islam dengan berniat kepada Allah.

“Namun demikian, didapati banyak tanah wakaf terbiar, tidak diusahakan untuk pembangunan dan disebabkan itu tidak ada pulangan dari tanah yang terbiar ini. Saya berharap pihak yang bertanggungjawab perlu tentukan tanah wakaf dapat diurus dengan sebaiknya dan memberi semula pulangan kepada ummah.

“Saya cadangkan sekiranya ia tidak diguna buat sementara waktu eloklah ia diguna untuk pembangunan atau diusaha tanaman pertanian, jalan raya dan lain-lain. Dengan adanya aktiviti sedemikian maka ianya dapat dimanfaat dan niat pewakaf tadi tidak jadi sia-sia.

“Saya harap tidak ada pembaziran ke atas tanah wakaf yang telahpun diwakafkan dari individu yang berniat untuk menunaikan satu dari ibadah agama Islam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here