Dua laluan baharu GOKL awal 2023

0
10

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan memaklumkan bahawa dua laluan baharu perkhidmatan bas percuma GOKL diwujudkan pada setiap tahun.

Kata kementerian itu, pewujudan itu selari dengan hasrat mewujudkan jaringan pengangkutan awam bersepadu yang akan memudahkan orang ramai bergerak ke destinasi masing-masing.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian telah menetapkan bahawa dua laluan baharu perlu diwujudkan setiap tahun dan dijangka akan mula dilaksanakan pada awal Januari 2023.

“Ini dilaksanakan melalui kerjasama kolektif dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana),” kata kementerian itu dalam jawapan bertulisnya di Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu adalah bagi menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PKR-Lembah Pantai) yang bertanyakan soalan sama ada kementerian akan meningkatkan jumlah bas GOKL serta meningkatkan laluan khas bas di Kuala Lumpur.

Buat masa ini, GOKL beroperasi di 11 laluan dengan empat laluan Last Mile manakala tujuh lagi merupakan laluan First Mile, dan melibatkan pengoperasian 60 buah bas.

“Dengan bertambahnya dua laluan baharu, dijangkakan penambahan sepuluh buah bas GOKL diperlukan dan akan menjadikan jumlah bas yang beroperasi sebanyak 70 buah untuk tahun 2023,” kata kementerian lagi.

Kata kementerian itu lagi, ketika ini pihaknya bersama Prasarana sedang melaksanakan kajian mengenai tahap keberkesanan penggunaan lorong bas sedia ada secara maksima dari segi tempoh masa perjalanan bas untuk tiba ke destinasi.

“Kajian yang dijalankan ini diharapkan dapat memastikan tempoh masa ketibaan sesebuah bas dapat dicapai mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here