Elak dituduh di 2 mahkamah berbeza, punca mahkamah syariah tidak teruskan pendakwaan terhadap Siti Nuramira

0
14
Tangkap layar Siti Nuramira membuat persembahan menghina Islam di Crackhouse

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap pelawak wanita yang menghina Islam, Siti Nuramira Abdullah bagi mengelakkan dia dituduh di dua mahkamah berbeza.

Ketua Pendakwa Syarie jabatan itu berkata, keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap wanita itu berdasarkan Seksyen 58 (2) Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Seksyen 181 Akta 560 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutan) 1997.

“Pertuduhan jenayah sudah dimulakan di mahkamah sivil pada 13 Julai lalu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Maslahah dari sudut pentadbiran keadilan bagi mengelakkan tertuduh dituduh di dua mahkamah berbeza bagi mencapai matlamat sama iaitu untuk dihukum atas kesalahan yang dilakukan.

“Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat. Sesuai dengan maqasid (matlamat) syariah yang menekankan pendekatan ta’dib dalam pentadbiran jenayah syariah diharap dapat membawa kembali tertuduh ke arah amalan Islam sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu menurut kenyataan itu, kes berkenaan sudah didaftarkan pada 13 Julai lepas berdasarkan siasatan awal yang dijalankan terhadap Siti Nuramira dan sebutan pertama ditetapkan pada 14 Julai tetapi ditangguhkan pada esok.

Wanita berusia 26 tahun itu ditahan semalam oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sejurus dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan umat Islam, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Wanita itu sepatutnya dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, tetapi telah dibebaskan JAWI malam tadi.

Isnin lalu, Nuramira dan teman lelakinya V. Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai dari seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here