Firdaus Wong tegur netizen jadikan alat sembahyang penganut agama lain sebagai gurauan

0
52
FIRDAUS WONG

CYBERJAYA – Gurauan yang disulam dengan elemen dusta bukanlah bentuk gurauan yang disukai dalam Islam.

Apatah lagi sekiranya gurauan tersebut turut melibatkan elemen keagamaan termasuk Islam sendiri dan agama lain.

Pendakwah terkenal, Ustaz Firdaus Wong berkata, beliau faham dengan tindakan admin sebuah page di media sosial yang mahu bergurau mengenai kenaikan harga barang, namun tindakannya itu kurang wajar.

“Saya faham situasi sahabat-sahabat dengan kenaikan harga barangan cuma saya ingin nasihati diri saya dan sahabat sahabat yang beriman.

“Barangkali kita mahu bergurau tetapi Islam melarang kita untuk menipu walaupun ketika bergurau,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau turut memetik hadis Nabi Muhammad yang berbunyi: “Celakalah bagi yang berbicara lantas berdusta hanya karena ingin membuat suatu kaum tertawa. Celakalah dia, celakalah dia.” (HR. Abu Daud no. 4990 dan Tirmidzi no. 2315).

Hantaran sama turut mengandungi tangkap layar gurauan yang dimuat naik oleh page tersebut.

“Tertera jelas ‘Minyak Untuk Sembahyang Sahaja’ dan saya percaya admin page tersebut tahu membaca dengan baik.

“… kita juga tidak seharusnya menjadikan alat sembahyang penganut agama lain sebagai bahan gurauan kita,” tambahnya lagi.

Jelas Ustaz Firdaus, beliau memegang prinsip bahawa yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah, tanpa mengambil kira sesiapa pun.

“Kita melihat prinsip bukan melihat siapa yang melakukannya,” jelasnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here