Flat ‘Columbia’ jadi sarang penjenayah diserbu, 42 ditahan

0
60
Polis menyerbu flat Columbia di Sungai Petani yang menjadi sarang penjenayah

SUNGAI PETANI – Sebuah flat yang terkenal dengan jolokan Flat Columbia kerana menjadi sarang pengedaran dan penagihan dadah serta aktiviti jenayah lain digempur polis menerusi Op Cantas Khas Muda selama dua hari yang berakhir semalam.

Ketua Polis Kedah, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, operasi di Flat Paya Nahu membabitkan lebih 400 anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Bahagian Siasatan Jenayah seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 dan Batalion 2.

Katanya, operasi besar-besaran itu berjaya menahan 42 individu iaitu 36 lelaki dan enam wanita atas pelbagai kesalahan, termasuk lapan individu dikehendaki.

“Operasi ditumpukan di kawasan berkenaan susulan aduan daripada pelbagai pihak termasuk penduduk setempat yang mendakwa flat terbabit menjadi sarang pelbagai aktiviti jenayah.

“Selain itu, kita turut merampas pelbagai jenis dadah, rokok seludup, dawai tembaga dan air ketum serta turut mengeluarkan 78 saman trafik.

“Hari pertama operasi adalah serbuan sasaran yang tertumpu kepada orang dikehendaki serta gangsterism, kontraban, bengkel haram, judi, sarang penagih dan ketum serta masalah sosial.

“Sementara hari kedua pula kita namakannya sebagai serbuan ‘house to house’, yang mana hampir 600 rumah diperiksa,” katanya memetik laporan BH Online di sini, hari ini.

Polis menyerbu flat Columbia di Sungai Petani yang menjadi sarang penjenayah

Wan Hassan berkata, kejayaan operasi itu membuktikan yang kawasan terbabit bukan ‘kubu’ yang sukar untuk ditembusi pihak berkuasa seperti tanggapan masyarakat setempat sejak dahulu.

“Pemeriksaan kita juga mendapati kawasan ini sebenarnya dijadikan transit oleh individu dari luar flat yang mahu melakukan jenayah.

“Kita tidak menafikan memang ada aktiviti jenayah di situ, namun ia dilakukan penjenayah yang cuba mengambil kesempatan disebabkan flat terbabit yang sedia ‘panas’ (dengan jenayah) sejak dahulu,” katanya.

Beliau memberitahu operasi sebegitu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung penularan jenayah terutama bagi lokasi panas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here