Guru jual kerepek di Malakat Mall untuk bantu penduduk kampung tingkatkan taraf hidup 

0
34
Noni Said, peniaga kecil yang juga merupakan seorang guru memperagakan pelbagai jenis kerepek yang dijual olehnya di Malakat Mall hari ini. 

CYBERJAYA – Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai seorang guru, siapa sangka Noni Said yang merupakan seorang peniaga kecil sanggup membuka sebuah gerai di Malakat Mall untuk membantu orang kampungnya.

Diberi nama ‘Noni Kerepek’, produk kerepek yang telah diusahakan oleh Noni selama 10 tahun itu telah banyak membantu penduduk kampungnya di Muar, Johor menjana pendapatan.

“Tujuan utama saya berniaga di Malakat Mall adalah untuk menyokong perjuangan Malakat Mall serta membantu meningkat taraf hidup penduduk kampung saya.

“Pada masa yang sama saya juga berhasrat untuk menolong orang kampung dengan menjual produk kerepek mereka,” katanya kepada Malakat Tribune.

Berikutan itu, Noni yang mengajar subjek Bahasa Melayu berkata, setiap dua minggu sekali dia akan pulang ke Muar untuk mengambil bekalan kerepek daripada orang kampung.

Noni berkata, antara kerepek yang paling mendapat sambutan daripada pelanggan adalah kerepek pisang tanduk.

Noni Said, peniaga kecil yang juga merupakan seorang guru sedang menyusun pelbagai jenis kerepek yang dijual olehnya di Malakat Mall hari ini. 

“Kerepek yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai adalah kerepek pisang tanduk yang berharga RM18 sepeket,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang bergelar usahawan, Noni berkata, pasang surut dalam dalam dunia perniagaan antara cabaran utama buat dirinya.

“Kalau nak cakap pasal cabaran berniaga ini banyak, dan selalu kena sabar dengan kuasa membeli yang kurang tapi rezeki itu tidak pernah salah alamat,” ujarnya lagi.

Di samping itu, Noni yang merupakan ibu kepada lapan orang anak juga berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaannya pada masa hadapan.

Katanya, dengan cara itu dia dapat membantu lebih ramai orang kampung yang berniaga kerepek.

Noni Said, peniaga kecil yang juga merupakan seorang guru sedang menyusun pelbagai jenis kerepek yang dijual olehnya di Malakat Mall hari ini. 

Sementara itu ditanya mengenai kelebihan berniaga di Malakat Mall, Noni berkata, dia gembira dan selesa dengan pelbagai kemudahan yang disediakan di pusat beli belah mesra Muslim itu.

“Setahu saya pusat beli belah ini adalah satu-satunya pusat beli belah yang kebanyakkan produknya adalah produk Muslim dan peniaga kecil.

“Selain itu, pusat beli belah ini adalah pusat beli belah yang paling bersih saya pernah jumpa, dengan tandasnya dan kalau nak solat pun banyak tempat disediakan di sini,” katanya.

Mengulas lanjut, Noni berharap Malakat Mall dapat maju dan berjaya seperti pusat beli belah lain milik syarikat asing.

Noni berkata, adalah tidak mustahil Malakat Mall juga dapat setanding dengan pusat beli belah lain sekiranya semua pihak terutamanya umat Islam menyokong dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here