Harga minyak masak tidak bersubsidi dijangka turun dua minggu lagi

0
14
GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Harga minyak masak tidak bersubsidi dijangka turun dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, jangkaan tersebut adalah susulan pertemuannya dengan semua pemain industri minyak masak termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Masak Sawit Malaysia (MPOC) pada Selasa lepas.

“Selepas dua minggu dari tarikh saya bertemu mereka, saya mahu tengok harga minyak turun.

“Saya tidaklah memaksa, cuma pada masa ini saya mahu industri ada rasa tanggungjawab dan jangan biarkan kerajaan terkial-kial dengan masalah sebab akhirnya syarikat juga yang menentukannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan harga barangan di Pasar Ketereh, di sini semalam.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, dalam pertemuan itu, pihak industri telah bersetuju untuk menurunkan harga minyak masak dan pengilang yang terbabit membayangkan penurunan harga itu akan dipendekkan secara berperingkat iaitu lima hingga 10 peratus.

Berkenaan inflasi yang sedang dihadapi ekonomi negara pula, Annuar berkata situasi itu sudah diduga kerana ia berlaku secara global.

Katanya, pasca-Covid-19 membolehkan aktiviti berjalan semula namun berlaku peningkatan permintaan pelbagai industri sedangkan pengeluaran masih belum pulih sepenuhnya.

“Selain itu, peperangan di luar negara menjejaskan perdagangan dan inflasi tersebut berlaku bergantung kepada dasar-dasar kewangan serta monetari polisi negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here