
CYBERJAYA – Lebih 6,000 murid, ibu bapa, guru dan warga kerja Brainy Bunch dari seluruh pelosok Lembah Klang ‘berkampung’ sempena penganjuran Hari Sukan Brainy Bunch di kampus utama sekolah montessori Islam itu di sini, hari ini.
Kehadiran ibu bapa bersama anak-anak yang lengkap dengan jersi dan tanjak seawal pukul 7 pagi dimeriahkan dengan bacaan doa yang diketuai oleh murid, nyanyian lagu Negaraku dan persembahan silat.
Kemeriahan Hari Sukan Brainy Bunch bertemakan ‘Pahlawan Race’ kali ini mengetengahkan aktiviti larian berhalangan seperti memanjat, meniti platform kayu dan banyak lagi.
Presiden Brainy Bunch dan juga Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, acara tahunan yang terhenti sejak lebih dua tahun akibat pandemik Covid-19 itu merupakan perhimpunan terbesar sejak penubuhan Brainy Bunch, 13 tahun lalu.
“Hari ini kita berjaya kumpulkan kira-kira 1,500 murid. Campur ibu bapa dan semua kita anggarkan 5,000 hingga 6,000 hadir pada hari ini.
“Program hari sukan melibatkan 60 buah cawangan Brainy Bunch di Lembah KLang ini dijangka akan berlangsung selama sebulan,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Mohd Fadzil berkata, tema ‘Pahlawan Race’ dipilih untuk memupuk semangat perjuangan bangsa, agama dan tanah air bertepatan dengan kandungan ko-kurikulum silat yang diajar di sekolah itu.
“Di Brainy Bunch, murid-murid dan juga guru-guru didedahkan dengan latihan seni Silat Gayong oleh jurulatih secara sepenuh masa.
“Sebenarnya tema pahlawan ini disambung dari apa yang dimulakan pada 2020 dan secara kebetulan pula ia serentak dengan ‘semangat pahlawan’ rakyat Malaysia ketika ini melalui filem Mat Kilau’,” katanya.
Justeru beliau mengharapkan penganjuran acara itu juga dapat menerapkan rasa cinta murid kepada pejuang-pejuang terdahulu yang bergadai nyawa mempertahankan negara.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, walaupun hujan turun pada penghujung acara. Terima kasih kepada ibu bapa, murid dan barisan tenaga penganjuran Brainy Bunch yang memberikan pengalaman terbaik kepada semua,” katanya.
