Hasil kajian banjir di Baling perlu dikongsi

0
19
Kemusnahan akibat banjir kilat di Kampung Iboi, Kedah

KAJANG – Sahabat Alam Malaysia (SAM) melahirkan rasa kecewa kerana gesaan supaya suruhanjaya siasatan awam (COI) ditubuhkan bagi menyiasat kejadian banjir di Baling, Kedah ditolak Kerajaan Negeri Kedah dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa).

Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, pihaknya telah menggesa COI itu ditubuhkan pada Rabu lalu bagi mengetahui punca sebenar banjir di Baling yang meragut tiga nyawa.

Jelas beliau, gesaan itu dibuat untuk mengelak satu lagi tragedi seperti itu berlaku pada masa depan, bukannya hanya menyalahkan alam terutama kerana intensiti dan kekerapan hujan yang luar biasa akibat perubahan iklim akan menjadi masalah berulang.

“Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor berkata COI seperti itu tidak diperlukan memandangkan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat sedang menyediakan laporan mereka berhubung tragedi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Meenakshi, SAM berpandangan laporan yang sedang disiapkan oleh agensi berkaitan yang akan diserahkan kepada Menteri Besar Kedah itu tidak memadai.

Ini kerana ujarnya, orang ramai berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku rentetan tragedi banjir itu serta mengapa ia berlaku dan siapa yang bertanggungjawab.

“Menteri Besar Kedah perlu telus dalam hal ini dan bertanggungjawab kepada orang ramai yang mana kesemua fakta mesti dibongkar,” katanya.

Tambah beliau, menyalahkan kerajaan terdahulu atas sebarang tindakan atau tidak bertindak adalah tidak wajar kerana kerajaan sedia ada mesti memperbetulkan apa yang salah.

“Apa yang diperlukan ialah tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah alam sekitar dan kecuaian mereka.

“Oleh itu, SAM menyeru Menteri Besar Kedah mendedahkan semua penemuan mengenai tragedi itu dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Meenakshi berkata, tragedi seperti itu perlu dielak daripada berlaku di masa depan dengan melindungi ekosistem yang sensitif kepada alam sekitar seperti bukit dan gunung serta tidak membenarkan apa-apa jenis projek perladangan di kawasan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here