Iklan tawar diskaun 50 peratus saman PDRM, JPJ palsu – PDRM

0
12

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan satu iklan yang menawarkan diskaun untuk bayaran saman yang menjadi tular menerusi aplikasi Whatsapp.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengesan penularan iklan yang mempromosi tawaran 50 peratus diskaun saman JPJ dan PDRM.

“Iklan itu memaparkan nilai kadar saman dan jumlah bayaran diskaun serta tawaran sehingga 20 Julai 2022.

“Iklan itu juga mendakwa kononnya orang ramai yang berminat boleh berhubung dengan individu melalui nombor telefon yang disertakan sekiranya ingin berurusan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook PDRM, hari ini.

Siasatan lanjut mendapati, iklan promosi tawaran saman tersebut adalah palsu kerana PDRM dan JPJ tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan pemberian diskaun.

“PDRM juga mengambil langkah pantas dan sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu berkenaan.

“Pada masa yang sama, orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut diminta untuk tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang berita terutamanya mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” tegas Noorsiah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here