Isu minyak masak bersubsidi: Kerajaan akan dituduh zalim jika bertindak terhadap restoren, peniaga

0
36
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Tindakan restoren dan perniagaan berskala besar yang menggunakan minyak masak peket 1 kilogram (kg) menyebabkan bahan bersubsidi itu sukar dikawal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap perniagaan yang menggunakan minyak masak peket itu, kerajaan akan dituduh zalim.

“Yang susah nak kawal ini adalah minyak masak peket untuk kegunaan rumah, tetapi pengusaha restoran besar gunakan.

“Tak sampai hati nak ambil tindakan ‘mak cik-mak cik’ goreng pisang. Itu salah satu sebab minyak masak peket tak boleh komersial tetapi jika penguat kuasa nak saman makcik tukang masak atau rampas minyak masak mereka nanti kita dituduh zalim kepada rakyat,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta kerajaan menyasarkan subsidi kepada golongan memerlukan saja bukannya untuk golongan kaya.

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan tidak berdiam diri dan sedang berusaha untuk melaksanakan subsidi bersasar.

Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu meneliti mekanisme akan diambil sebelum melaksanakannya agar tiada golongan memerlukan tercicir.

“Ini bukan sesuatu perkara mudah dan ada perkara perlu dipertimbangkan.

“Kerajaan tidak berdiam diri dan perdana menteri tak boleh dikatakan tak lakukan apa-apa tindakan. Insya-Allah kita akan lakukan terbaik untuk negara,” katanya.

Pada 6 Julai lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Alexander Nanta Linggi berkata minyak masak peket 1kg hanya untuk kegunaan isi rumah dan tidak boleh dibeli dan digunakan bagi tujuan komersial seperti pengusaha restoran.

Bagaimanapun, Nanta berkata pengecualian itu diberikan kepada peniaga kecil.

Namun, pada masa sama, Nanta menegaskan bahawa penggunaan minyak masak peket tidak boleh digunakan oleh perniagaan atau restoran pada skala yang besar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here