JAIS dalam proses siapkan garis panduan selaras kadar urus jenazah

0
3
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang dalam proses menyiapkan Garis Panduan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Selangor bagi memastikan kos pengurusan jenazah di Selangor lebih seragam dan selaras.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, JAIS mendapat makluman bahawa kadar pengurusan jenazah di Selangor adalah berbeza mengikut masjid, surau serta pihak yang mengendalikan urusan berkenaan.

Katanya, JAIS tidak pernah menetapkan sebarang kos pengurusan jenazah di masjid atau yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

“Namun, terdapat biro khairat di bawah seliaan masjid atau surau yang menetapkan kadar pengurusan jenazah berbeza antara institusi-institusi berkenaan.

“Terdapat juga masjid dan surau meletakkan yuran khairat kematian yang tinggi atau menggunakan khidmat syarikat insurans bagi menguruskan jenazah jika berlaku kematian,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, walaupun JAIS tidak menerima sebarang aduan berkenaan kos mahal untuk menguruskan jenazah, namun perkara tersebut menyukarkan pihak berkenaan memantau penetapan kadar yang berbeza.

Oleh itu, katanya, JAIS sedang memperhalusi garis panduan yang bakal dirangka oleh pihak tersebut bagi menyelesaikan isu perbezaan harga pengurusan jenazah di Selangor.

“Setakat ini, kerajaan Selangor tidak menyalurkan apa-apa sumbangan bagi membantu pengurusan jenazah.

“Namun, waris yang terdiri daripada golongan fakir miskin biasanya akan dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), yang mana pihak masjid akan bayar dahulu (kos pengurusan jenazah), kemudian membuat tuntutan dengan LZS.

“Sebab itu, JAIS terus menggalakkan kepada ahli-ahli kariah untuk menyertai khairat kematian masjid kerana mereka yang tidak mampu urus jenazah akan ditanggung oleh biro khairat masjid tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here