Jangan terpengaruh tohmahan pihak luar – Coach Fadzil

0
31
COACH FADZIL

CYBERJAYA – Orang ramai terutamanya ibu bapa pelajar Brainy Bunch digesa supaya tidak terpengaruh dengan pihak luar yang cuba memburukkan imej pusat pendidikan kanak-kanak itu.

Pengasasnya, Mohd. Fadzil Hashim berkata, kebelakangan ini terdapat banyak paparan di media sosial yang kelihatan cuba memburukkan imej Brainy Bunch melalui inisiatif yang pihaknya laksanakan.

Beliau yang dikenali sebagai Coach Fadzil turut berkata, segala inisiatif yang dilaksanakan adalah sebagai membantu para ibu bapa dalam menjadikan mereka celik kewangan dan bukannya berasaskan keuntungan.

“Apa yang kita lakukan merupakan maklum balas yang kita terima sendiri daripada ibu bapa (para pelajar).

“Semua inisiatif yang kita laksanakan adalah bagi membantu para ibu bapa,” kata Coach Fadzil.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran langsung di laman Facebooknya hari ini.

Katanya lagi, berasaskan data di media, kira-kira 72 peratus orang Melayu tidak mempunyai aset kewangan yang dapat membantu mereka ketika kegawatan.

“Oleh sebab itu, inisiatif yang kami laksanakan (kebanyakannya) merupakan program celik kewangan, peluang bagi mereka menambah ilmu kewangan.

“Kami berikan ruang dan peluang dan selebihnya mereka boleh laksanakan sendiri,” katanya lagi.

Coach Fadzil turut menasihatkan orang ramai supaya jangan terlalu berlebihan dalam memberikan komen berkaitan isu salah faham tersebut kerana pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan guaman sekiranya ia berbaur fitnah.

Bagi perincian yang lebih jelas, Coach Fadzil akan mengadakan satu lagi sesi siaran langsung pada pukul 9 malam ini bagi menjawab segala persoalan yang ditimbulkan individu yang masih sangsi terhadap inisiatif yang pihaknya dilaksanakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here