Jokowi bertemu Putin bincang isu Ukraine, bekalan makanan global

0
16

MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Indonesia, Joko Widodo semalam mengadakan perbincangan di Kremlin mengenai situasi semasa di Ukraine serta masalah bekalan bijirin dan baja susulan kekurangan bekalan makanan global.

Laporan agensi Xinhua menyebut, Putin turut memaklumkan secara terperinci mengenai situasi semasa di Ukraine kepada Joko yang lebih dikenali sebagai Jokowi dalam mesyuarat dua hala itu.

Mengenai ketidakseimbangan pasaran makanan global, Putin mengaitkan masalah itu dengan dasar makroekonomi yang tidak bertanggungjawab beberapa negara Barat.

Pada tahun lepas, katanya, Rusia mengeksport lebih 43 juta tan bijirin merangkumi 33 juta tan gandum, dan hasil tuaian yang baik tahun ini memungkinkan Rusia mengeksport lebih banyak hasil tersebut.

Rusia juga bersedia untuk menghantar bekalan baja dan bahan lain ke Indonesia dan negara-negara lain yang mempunyai hubungan baik dengan Kremlin.

Untuk tujuan ini, Putin menekankan “kepentingan memulihkan rantaian bekalan yang terganggu akibat sekatan (ke atas Rusia)”.

Jokowi yang sebelum itu melawat Kiev, Ukraine sebelum berkunjung ke Moscow, turut menggariskan kepentingan mempromosikan penyelesaian damai terhadap krisis Ukraine.

“Saya menyampaikan mesej daripada Presiden (Ukraine) (Volodymyr) Zelensky kepada Presiden Putin dan menzahirkan kesediaan saya untuk menjadi perantara antara kedua-dua pemimpin,” katanya.

Jokowi turut menyatakan penghargaan kepada janji Putin bagi menjamin bekalan makanan serta baja bukan sahaja dari Rusia tetapi membabitkan negara pembekal Ukraine.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here