Kanak-kanak didera ibu angkat ditempatkan di pusat jagaan JKM

0
19
RINA HARUN

ALOR SETAR – Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang disyaki didera ibu angkatnya, akan ditempatkan di pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kanak-kanak itu yang kini sedang menerima rawatan lanjut di hospital akan ditempatkan di pusat jagaan itu sehingga perbicaraan kes berkenaan selesai.

“Pihak JKM telah hadir ke hospital bersama pelindung kanak-kanak untuk meneruskan siasatan selain memastikan dia dijaga dengan lebih baik.

“Apa yang penting sekarang ialah kita mahu pastikan kanak-kanak itu terus berada dalam keadaan yang sihat apabila dibenarkan keluar dari hospital nanti,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kes penderaan membabitkan kanak-kanak, di sini hari ini.

Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan sebuah video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita yang dipercayai ibu angkat kepada kanak-kanak berusia empat tahun tersebut telah memukul anak angkatnya itu menggunakan kayu penyapu hanya kerana mangsa enggan makan nasi.

Sementara itu, Rina berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada individu yang melaporkan kejadian berkenaan dan berharap masyarakat umum sentiasa prihatin serta cakna dengan kes penderaan yang mungkin berlaku di sekeliling mereka.

“Sekiranya ada yang mengetahui kes penderaan, perkara pertama yang mereka boleh lakukan ialah buat laporan polis atau menghubungi Talian Kasih menerusi talian bebas tol 15999. Mereka juga boleh terus pergi ke mana-mana Pejabat JKM yang terdekat untuk melaporkan kejadian itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here