Keadaan kanak-kanak tertelan methamphetamine sudah bertambah baik – Ibu mangsa

0
13
Ibu mangsa ketika ditemubual pihak media pada bulan lepas. – GAMBAR FAIL

KOTA BHARU – Kanak-kanak lelaki empat tahun yang sebelum ini tertelan dadah jenis methamphetamine, sudah kembali meneruskan kehidupannya seperti biasa.

Kata ibunya kepada portal Astro Awani, keadaan anaknya itu kini sudah bertambah baik apabila sudah mula makan, berjalan dan telah memulakan aktivitinya seperti kanak-kanak lain.

“Alhamdulillah, anak saya sudah pulih. Saya sangat bersyukur, dia sudah mula berjalan dan makan seperti biasa. Dia juga dah mula aktif seperti biasa,” katanya.

Tambah wanita berusia 36 tahun itu, keadaan anaknya nampak bertambah baik sejak keluar daripada hospital selepas mendapat pemantauan rapi doktor di unit rawatan rapi Wad Kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Kuala Krai, di sini.

Kes berkenaan mendapat perhatian umum selepas kanak-kanak itu dikatakan tertelan benda terlarang ketika bersama bapa sepupunya pada 18 Jun lepas.

Mangsa sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dadah dikesan berada dalam darah dan badannya serta terpaksa bergantung kepada alat bantuan penafasan pada awal mendapat rawatan di hospital.

Susulan itu juga, bapa sepupunya dituduh di Mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana mendedahkan kanak kanak berkenaan kepada dadah tersebut.

Mahkamah Sesyen pada 28 Jun lepas turut menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat selama 180 jam serta bon kelakuan baik.

Tertuduh didakwa atas satu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here