Kedudukan fiskal negara masih kukuh, hutang di tahap terkawal – tegas Tengku Zafrul

0
14
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz

CYBERJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang kerajaan persekutuan di tahap terkawal.

Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz, walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang.

“Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik.

“Pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada, antara lainnya melalui Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

“Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak boleh melebihi RM35 bilion. Pada akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah RM29.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain itu Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 20212
juga menetapkan bahawa had statutori hutang kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Katanya, pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4 peratus daripada KDNK.

“Selain itu, 97 peratus daripada jumlah hutang kerajaan persekutuan adalah dalam denominasi Ringgit. Ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan.

Katanya lagi, pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik, serta kekukuhan ekonominya.

Pada masa sama, katanya, pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus.

“Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar kerajaan akan menyokong
pengukuhan kedudukan fiskal negara.

“Berdasarkan faktor-faktor di atas, MOF juga ingin menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini.

“Selain itu, MOF telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here