Kehadiran pelajar ke sekolah merosot di Pulau Pinang

0
31
GAMBAR HIASAN

NIBONG TEBAL – Trend kehadiran pelajar ke sekolah di Pulau Pinang menunjukkan kemerosotan apabila terdapat kelas yang mencatatkan kehadiran hanya empat orang sahaja pelajar dalam sehari.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, laporan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, isu berkenaan perlu dipandang serius oleh masyarakat terutamanya ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan perkara tidak berfaedah yang mungkin boleh memusnahkan masa depan mereka.

Menurutnya, daripada maklumat yang diperoleh dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, merekodkan seramai 529 pelajar tercicir dan hanya datang ke sekolah pada hari tertentu seperti peperiksaan sahaja.

“Daripada Jumlah itu, seramai 246 pelajar yang ditemui telah menyatakan tidak mahu lagi ke sekolah.

“Kebanyakan mereka yang terlibat dengan masalah ini di kalangan pelajar tingkatan tiga hingga lima malah difahamkan pihak sekolah tidak tahu apakah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar ini di luar sehingga menyebabkan mereka tidak berminat ke sekolah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Jerayawara Town Hall Jom Bersekolah di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPN Pulau Pinang, Abdul Said Hussain.

Sementara itu, Zulkifli berkata golongan remaja yang tidak minat untuk bersekolah diseru untuk mengikuti pelbagai program kemahiran dan keusahawanan yang ditawarkan oleh pelbagai institusi kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here