Keluar kata kesat, seorang lelaki positif dadah ditahan polis

0
15
Polis

PASIR PUTEH – Polis menahan seorang lelaki selepas mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina anggota polis pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, suspek berusia 27 tahun, yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit ditahan ketika penguatkuasaan trafik Op Pematuhan dilakukan di Jalan belakang Petron pada jam 8 pagi.

Katanya, dalam pemeriksaan yang dilakukan, anggota bertugas mendapati suspek melakukan tiga kesalahan lalu lintas iaitu abai isyarat lalu lintas, lesen kenderaan memandu (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

“Anggota bertugas kemudiannya mengeluarkan saman pol 257 terhadap kesalahan yang dilakukan suspek.

“Suspek tidak berpuas hati dengan tindakan saman oleh anggota bertugas dan suspek berkata “mudah polis cari pitih air” (mudah polis cari duit air) kepada anggota bertugas.

“Anggota bertugas menerangkan kepada suspek akibat daripada kata-kata kesat yang dikeluarkannya tetapi tidak diendah, malah mengatakan “bodo” (bodoh),” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh bersama motosikal suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Hasil ujian saringan awal ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine, namun tiada rekod lampau direkodkan.

“Satu kertas siasatan lain juga dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) ADB 1952. Suspek akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here