Kerajaan bakal lancar Menu Keluarga Malaysia untuk harga makanan berpatutan 

0
58
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL), pagi tadi.

CYBERJAYA – Kerajaan bakal memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran, koperasi dan premis jualan makanan di institusi-institusi pengajian tinggi.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, inisiatif itu diwujudkan sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

“Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, kerajaan juga akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).

“Program PJKM akan diperhebat sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

“PJKM akan melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Selain itu, jelas Ismail Sabri, Program PJKM itu juga akan diperluas ke institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

“Program yang akan diterajui bersama oleh KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan ini turut dilaksanakan dalam konsep bergerak,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here