Kerajaan buang sumber, rugikan masa kaji cadangan waktu kerja empat hari seminggu

0
39
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata, kerajaan hanya merugikan sumber dan membuang masa kerana melaksanakan kajian terhadap cadangan untuk melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, ini kerana masih terdapat perkara lain yang lebih utama melibatkan hal-hal kebajikan serta kadar gaji semasa warga pekerja yang belum diselesaikan oleh kerajaan dan majikan.

“CUEPACS berpandangan kerajaan hanya merugikan sumber serta membuang masa sahaja sekiranya berhasrat untuk membuat kajian kebolehlaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu di Malaysia.

“Sebaliknya, kerajaan perlu lebih fokus kepada isu-isu pekerjaan yang lebih penting dan perkara-perkara telah diumumkan tetapi masih dalam peringkat kajian atau tidak dilaksanakan lagi walaupun telah dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengambil contoh dalam perkhidmatan awam, kata Adnan, banyak perkara yang sudah diumumkan oleh kerajaan untuk penjawat awam tetapi pelaksanaannya masih tidak dibuat.

Antara perkara tersebut ialah pelaksanaan gaji minimum melalui sistem saraan baharu, penebusan awal gantian cuti rehat serta kenaikan pangkat secara ‘time based’ yang dipendekkan sebelum ini.

“Sumber dan masa yang perlu digunakan oleh kerajaan untuk mengkaji kebolehlaksanaan empat hari bekerja seminggu itu sepatutnya boleh digunakan untuk ‘merawat’ situasi semasa yang membelenggu penjawat awam yang terkesan dengan isu gaji rendah serta hal-hal kebajikan lain,” katanya.

Tegas Adnan lagi, tumpuan seharusnya diberikan kepada perkara yang memberi manfaat kepada warga pekerja berbanding mengkaji perkara yang tidak sepatutnya dilaksanakan buat masa kini.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, sudah tentu perkara berkaitan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta kebajikan warga penjawat awam perlu diberikan keutamaan.

Dalam masa yang sama, CUEPACS menyeru semua warga perkhidmatan awam mengekalkan prestasi cemerlang dalam pekrhidmatan masing-masing dan tidak hilang fokus dalam menghadapi isu pelaksanaan empat hari bekerja seminggi ini.

“Keutamaan ketika ini adalah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat. CUEPACS juga berharap pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam juga dapat menjaga keharmonian dalam kalangan kakitangan dengan mematuhi peraturan semasa perkhidmatan.

“Sebarang keputusan berkaitan sumber manusia haruslah dibuat berdasarkan peraturan sedia ada bagi mengelakkan kerugian modal insan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here