Kerajaan digesa gubal undang-undang wajibkan pemasangan peralatan keselamatan di kediaman tinggi

0
9

CYBERJAYA – Kerajaan digesa bertindak segera termasuk menggubal undang-undang mewajibkan pemasangan peralatan keselamatan di kediaman tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku pada penghuninya.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Lee Lam Thye, berkata, pemasangan peralatan keselamatan seperti jeriji pada tingkap dan pintu kediaman tinggi boleh mengelakkan kejadian buruk seperti kanak-kanak terjatuh dari kondominium dan pangsapuri yang semakin membimbangkan ketika ini.

Beliau turut berkata, langkah lain yang boleh diambil termasuk memasang alat pengesanan atau penggera serta kamera litar tertutup (CCTV) untuk meningkatkan keselamatan.

“Bunyi penggera itu boleh membantu memberi isyarat apabila seseorang memanjat balkoni sebelum pengurusan dan penduduk boleh bertindak segera. Pemasangan CCTV juga boleh dibuat di banyak kawasan termasuk balkoni dan semua pihak perlu memainkan peranan mereka masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kejadian membabitkan kanak-kanak yang dilaporkan terjatuh dari kediaman aras tinggi kebelakangan ini, lapor portal FMT.

Terdapat beberapa kejadian seperti itu dilaporkan berlaku sejak awal tahun ini dan yang terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki empat tahun ditemui mati akibat terjatuh dari tingkat 35 di Pandan Perdana, Ampang, 19 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Lee berkata, walaupun tanggungjawab menjaga keselamatan anak terletak pada ibu bapa atau penjaga namun tidak salah untuk melaksanakan inisiatif keselamatan tambahan.

Beliau turut mencadangkan supaya audit keselamatan di bangunan kediaman dilakukan dua hingga tiga tahun sekali bagi memantau tahap keselamatan di situ.

“Ia sebagai langkah untuk meninjau apa-apa masalah yang boleh membawa risiko tinggi. Sebarang usaha meningkatkan tahap keselamatan demi menyelamatkan penghuni kediaman bertingkat atau berstrata perlu disokong semua pihak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here