Kerajaan kaji semula penetapan harga siling ayam selepas 31 Ogos

0
8
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Penetapan harga siling runcit ayam standard serta kebenaran mengeksport ayam akan dikaji semula selepas pelaksanaan harga siling RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia tamat pada 31 Ogos depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee, hari ini.

“Tentu sekali selepas 31 Ogos ini kerajaan akan mengkaji aspek sama ada nak kekalkan subsidi atau nak apungkan harga, ataupun untuk membuka semula eksport ayam bulat ke luar negara.

“Itu akan kita pertimbangkan. Kita ada sebulan lagi untuk melihat perkembangan yang akan berlaku dalam industri ternakan dan juga perusahaan ayam di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pavilion AgroTech pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan telah menetapkan harga siling ayam kepada RM9.40 sekilogram untuk tempoh 1 Julai lepas sehingga 31 Ogos, manakala harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Ronald berkata, kerajaan mengambil maklum ada sesetengah tempat yang menjual ayam standard lebih rendah dari harga siling yang ditetapkan.

“Dari perspektif industri, kita letakkan harga kawalan tetapi kerajaan tampung dengan pemberian subsidi kepada penternak sebanyak RM1.20 bagi bagi setiap kilogram.

“Jadi tindakan kerajaan (pemberian subsidi) telah menstabilkan bekalan ayam dan harga ayam di pasaran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here