Kerajaan peruntuk RM100 juta bantu koperasi kembang agromakanan

0
17
Ismail Sabri diiringi Noh ketika hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Koperasi 2022 (BKK22) sempena 100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), pada Sabtu. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan suntikan dana sebanyak RM100 untuk pengembangan industri agromakanan khususnya penternakan ayam melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, langkah itu dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara sekaligus mengurangkan kenaikan harga barang yang ditanggung Keluarga Malaysia.

“Kerajaan juga bersetuju agar bantuan Tabung Agromakanan yang dikawal selia oleh Bank Negara itu diperluas kepada koperasi yang terlibat dalam sektor terbabit.

“Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM10 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (Kuskop) bagi membiayai penganjuran aktiviti-aktiviti kolaborasi strategik bersama persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti penganjuran pameran dan ekspo,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.

Tambah beliau, kerajaan juga bersetuju memberikan kouta khas pekerja asing kepada pihak koperasi untuk melancarkan aktiviti perladangan.

Untuk tujuan itu, beliau mengarahkan Kementerian Sumber Manusia menjadi pemudah cara permohonan pihak koperasi sekiranya ada kekangan dengan sistem Pengurusan Berpusat Pekerja-Pekerja Asing (FWCMC).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga menyokong penubuhan Koperasi Rakyat BR 2.0 Malaysia Berhad atau BR 2.0, sebuah entiti koperasi yang baharu ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 [Akta 502] dan dikawal selia oleh SKM.

“BR 2.0 juga dijangka memainkan peranan lebih besar iaitu membantu membangunkan sektor koperasi serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Penubuhan BR 2.0 turut membolehkan Keluarga Malaysia melabur dan memiliki saham dalam koperasi seperti mana Bank Rakyat dengan jangkaan pulangan yang baik,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru semua koperasi di negara ini mencontohi gerakan koperasi di Jepun yang diletakkan di bawah Japanese Consumer Cooperative Union (JCCU).

Beliau berkata, JCCU merupakan gabungan 572 koperasi pengguna dan dianggotai oleh 22 juta orang berjaya mencatat keuntungan RM2.6 bilion pada tahun 2021.

Kata beliau, gabungan koperasi itu bukan sekadar menguasai segmen pasaran dengan membekalkan barangan keperluan harian tetapi mampu menawarkan persekitaran yang lestari kepada komuniti setempat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here