Kerajaan sasar tambah lebih 12,000 unit kediaman warga ATM

0
7
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan mensasarkan pembinaan 12,733 lagi unit kediaman Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) melalui lima fasa bermula tahun depan hingga 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu adalah sebagai meneruskan kesinambungan Blueprint Perumahan 1.0 (BP1.0 dan BP2.0) yang setakat ini telah menyaksikan 4,200 unit RKMAT telah siap dan diduduki.

Beliau berkata, pembangunan itu bertujuan memastikan lebih ramai anggota ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan memiliki rumah sendiri sebelum mereka menamatkan perkhidmatan serta memberi peluang kepada veteran ATM memiliki rumah sendiri pada harga yang mampu dimiliki sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa memberi keutamaan kepada agenda perumahan warga ATM dan warga awam MINDEF. Ini keutamaan, tiada kompromi.

“Selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang saya perkenalkan, rangka tindakan ini akan memastikan perancangan Agenda Perumahan MINDEF yang bermula dari tahun 2022 hingga 2030 dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Sebagai bekas Menteri Kanan Pertahanan, sudah tentu saya sangat prihatin dan sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga kerja Pertahanan terpelihara, malah isu berkaitan perumahan tuan-tuan dan puan-puan sentiasa dekat di hati saya,” katanya pada Pelancaran Rangka Tindakan (Blueprint) Perumahan 3.0 MINDEF (BP3.0) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di sini hari ini.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, di bawah program selenggara dan naik taraf pula, kerajaan mensasarkan 80 peratus daripada 7,292 unit RKMAT sedia ada akan dinaik taraf termasuk pengubahsuaian daripada 2 unit kepada 1 unit.

Manakala di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, sebanyak 1,700 unit akan dibina demi kesejahteraan veteran ATM di seluruh negara, katanya.

“Dalam masa yang sama, lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasarannya 1 unit baru dibina, 4 unit akan dinaik taraf.

“Oleh itu, kaedah-kaedah perolehan secara penswastaan seperti ‘bina-pajak-senggarapindah’ (BLMT) atau Landswap akan diberi pertimbangan agar sebahagian besar matlamat BP3.0 dapat dicapai,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau turut dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebanyak lima projek perumahan RKMAT telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), .

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan komited untuk menjadikan Agenda Perumahan MINDEF sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan negara dan sering dibincangkan oleh pengurusan tertinggi kementerian,” katanya.

Ismail berkata, kerajaan sentiasa menyanjung tinggi pengorbanan warga Pertahanan yang tidak menghiraukan penat lelah mempertahankan keamanan negara tanpa mengira masa dan tempat, malah sanggup meninggalkan keluarga untuk berjuang di perbatasan.

“Dengan adanya tempat untuk berteduh bagi warga kerja pertahanan, saya percaya mereka yang terpaksa berpisah kerana menggalas cabaran di perbatasan, berasa lega dan yakin keluarga yang ditinggalkan di rumah berada dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here