Kerajaan sedang rangka mekanisme subsidi bersasar yang sesuai – PM

0
10

CYBERJAYA – Kerajaan sedang merangka mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar yang sesuai bagi memastikan peruntukan yang disalur kerajaan dinikmati mereka yang benar-benar berhak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai perkara perlu diperincikan berhubung mekanisme berkenaan bagi mengelakkan ketirisan dan dinikmati oleh golongan yang tidak layak, termasuk rakyat asing.

“Memang kerajaan kerugian besar akibat subsidi tersasar dan tidak bersasar ini kerana semua pihak menikmati subsidi yang sepatutnya dikhususkan untuk mereka yang berhak dapat iaitu golongan miskin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan kaya.

Ismail Sabri mengambil maklum bahawa perkara itu telah dikaji beberapa kerajaan sebelum ini, namun belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedang mengambil tindakan mengekang aktiviti penyeludupan barangan yang disubsidi seperti minyak masak di peringkat industri dan di sempadan negara.

“Kerajaan tidak berdiam diri, Perdana Menteri tidak boleh dikatakan tak melakukan apa-apa tindakan, Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here