Kerajaan susun semula peruntukan bagi capai 5% penjimatan

0
21
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Kerajaan akan menyusun semula peruntukan bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022 bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan memuktamad dan mengeluarkan Waran Sekatan bagi memaklumkan jumlah peruntukan yang akan dikurangkan.

Menurut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia – Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan kementerian berkenaan, MOF berkata ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik antarabangsa serta kenaikan mendadak harga komoditi global dan makanan telah mengakibatkan tekanan inflasi yang tinggi.

Justeru, kerajaan mengambil langkah untuk melaksanakan subsidi barangan keperluan serta kawalan harga bagi mengurangkan impak inflasi, dan dengan ini perbelanjaan bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon berkata, kementerian/ jabatan/ agensi/ Badan Berkanun Persekutuan/ Syarikat Jaminan Kerajaan (CLBG) dikehendaki menyusun semula program/aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan dengan memastikan tidak membuat trade-off ke atas program dan aktiviti yang mengfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.


“Manakala, penyusunan semula organisasi kementerian/ jabatan/ agensi hanya dibenarkan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dengan syarat tidak melibatkan tambahan bilangan jawatan dan implikasi kewangan.

“Keutamaan penyusunan semula organisasi hendaklah fokus kepada mengurangkan pertindihan fungsi sama ada di dalam atau di luar organisasi.

”Penubuhan badan berkanun/ CLBG/ entiti baharu lain tidak dibenarkan,” tegas Asri.

Beliau berkata, setiap kementerian/jabatan/agensi hendaklah berusaha untuk melaksanakan penjimatan perbelanjaan utiliti seperti telekomunikasi, elektrik dan air serta memastikan barang pakai habis digunakan dengan optimum bagi mengelakkan pembaziran.

“Laporan perbelanjaan utiliti dan barang pakai habis juga hendaklah dipantau dan dilaporkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) kementerian, tambahnya.

Asri berkata, semua perbelanjaan bagi perolehan aset baharu yang tidak mendesak yang belum dipesan atau ditandatangani hendaklah ditangguhkan kecuali kelulusan khas MOF telah diperolehi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here