Kereta pameran umpama kereta polis, pemilik ditahan

0
43

CYBERJAYA – Polis Sepang mengesahkan penahanan seorang lelaki berkaitan kes kenderaan yang menyerupai sebuah kenderaan polis di Serdang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 45 tahun yang ditahan itu merupakan seorang pemilik kedai aksesori kenderaan.

“Berdasarkan satu hantaran yang menjadi tular di media sosial, sepasukan anggota dari bahagian siasatan jenayah IPD Sepang telah menahan seorang lelaki (dipercayai) pemilik kenderaan itu,” kata Wan Kamarul Azran dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Skyline R32 yang mempunyai lambang dan corak menyerupai kenderaan polis.

Suspek kemudiannya dibenarkan keluar dengan ikat jamin polis pada awal pagi tadi.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan yang dibekalkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan tugas,” kata Wan Kamarul Azran lagi.

Terdahulu, imej sebuah kereta Nissan Skyline R32 yang dihias sehingga kelihatan seperti sebuah kenderaan ronda polis menjadi tular di media sosial.

Difahamkan, kereta itu dipamerkan di sebuah karnival kenderaan yang sedang berlangsung di Serdang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here